Langkah-langkah mengekalkan kebersihan tandas di sekolah

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mengekalkan kebersihan tandas di sekolah. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
 
       Tandas sekolah merupakan satu kemudahan khas bagi setiap warga sekolah menggunakannya. Namun, tahap kebersihan tandas sekolah merupakan duri dalam daging pihak sekolah. Terdapat segelintir ibu bapa daripada golongan elit amat menginginkan tandas sekolah yang bersih tetapi mereka tidak mengizinkan anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti menjaga kebersihan tandas. Sikap yang hidung tinggi ini sepatutnya dibendung kerana kebersihan tandas sekolah merupakan tanggungjawab setiap warga sekolah. Oleh itu, setiap warga sekolah harus berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk memastikan tandas sekolah sentiasa bersih. Persoalannya, apakah langkah yang boleh dilakukan untuk mengekalkan kebersihan tandas?
       Antara langkah untuk menjamin kebersihan tandas sekolah ialah pihak sekolah harus malakukan pembersihan tandas secara berkala dan bukannya bersikap hangat-hangat tahi ayam. Aktiviti pembersihan tandas ini boleh dilakukan dengan mengikut giliran tingkatan berdasarkan jadual yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Dengan pembersihan tandas secara berterusan, kebersihan tandas sekolah dapat dijaminkan. Intihanya, usaha menjaga kebersihan tandas secara berkala bukan sahaja menjanjikan warga sekolah dengan tandas yang bersih, malah dapat juga memupuk semangat bersatu pada seperti yang dikatakan bersatu teguh, bercerai roboh.
       Selain itu, pihak berkaitan juga perlu mengadakan kempen berterusan untuk mengekalkan kebersihan tandas sekolah. Kerja pembersihan tandas bukan sahaja merupakan tanggungjawab guru-guru sahaja, malah turut melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan juga media massa untuk menjayakan kempen kebersihan tandas. Pihak sekolah dan pihak PIBG menggembleng tenaga untuk mengadakan kempen kebersihan tandas manakala pihak media massa pula boleh menguar-uarkan lebih ramai pelajar melibatkan diri dalam aktiviti ini. Kejayaan sekolah dalam “Kempen Tandas Lima Bintang” boleh disiarkan melalui surat khabar, televisyen, radio dan risalah untuk meraihkan kejayaan mereka di samping memberi galakan kepada sekolah lain untuk menjaga kebersihan tandas. Jelasnya, kempen berterusan ini bukan sahaja dapat menjamin kebersihan tandas sekolah, malah juga dsapat memupuk sikap prihatin dalam diri pelajar seumpama dengan peribahasa sambil menyelam munum air.
       Seterusnya, ibu bapa turut memainkan peranan yang penting untuk memberikan perhatian dan didikan tentang kebersihan tandas sejak kecil kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Tidak dapat dinafikan bahawa anak-anak akan mencontohi apa-apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Bak kata beribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya. Jika ibu bapa tidak menitikberatkan kebersihan tandas, maka sikap buruk ini akan menjadi ikutan anak-anak. Lama-kelamaan, sikap pengotor ini akan menjadi tabiat anak-anak seperti yang dikatakan alah bisa tegal biasa. Ibu bapa yang bersikap pengotor yang ingin mengajar anak-anak menjadi seorang yang mementingkan kebersihan samalah seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Tuntasnya, ibu bapa mestilah memupuk sikap cinta akan kebersihan sejak kecil kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
       Akhirulkalam, semua pihak mestilah berusaha untuk mengekalkan kebersihan tandas di sekolah supaya tandas sekolah sentiasa berada pada tahap yang bersih. Dalam hal ini, tandas sekolah akan menjadi lebih selesa untuk digunakan oleh pelajar-pelajar. Bak kata peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Jika tandas tidak bersih, persekitaran sekolah tidak akan ceria. Akibatnya, proses pengajaran dan pembelajaran juga akan terjejas. Oleh itu, semua pihak wajarlah bersama-sama menjaga kebersihan tandas sekolah demi kebajikan warga sekolah.

 

This entry was posted in Karangan. Bookmark the permalink.

Leave a comment