Kawasan perindustrian lebih baik dibangunkan di luar bandar daripada di bandar. Bahaskan pernyataan di atas.

Kawasan perindustrian lebih baik dibangunkan di luar bandar daripada di bandar. Bahaskan pernyataan di atas.

Kawasan perindustrian merupakan tempat pemusatan kegiatan industri. Tempat-tempat ini dilengkapi dengan prasarana, sarana dan fasilitas yang berkaitan. Majoriti kawasan perindustrian pada hari ini berkembang pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan di bandar. Namun, bagi memajukan perindustrian desa, kawasan perindustrian mulai dibangunkan di luar bandar. Persoalannya, adakah kawasan perindustrian sesuai dibangunkan di luar bandar? Tidak dapat dinafikan bahawa kegiatan industri di desa mendatangkan kesan-kesan yang serius kepada masyarakat tempatan.

Antara kesan yang paling besar ialah pembinaan kilang-kilang di luar bandar akan mencemarkan alam sekitar. Sebelum pembinaan kilang-kilang, suasana di luar bandar indah sungguh. Udara di luar bandar pun segar dan nyaman. Namun, sejak sektor perindustrian dimajukan di kuar bandar, masalah pencemaran jelas kelihatan. Asap yang dihasilkan oleh kilang-kilang tidak dikendali dengan baik menyebabkan kawasan luar bandar terdedah kepada pencemaran udara. Sisa kumbahan kilang yang disalurkan ke dalam sungai turut mencemarkan sungai. Penggunaan mesin-mesin di kilang juga menghasilkan bunyi bising dan mengakibatkan pencemaran bunyi. Jelaslah, pihak kilang yang bersikap bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing ini telah menjejaskan keindahan luar bandar.

Selain itu, perkembangan industri di luar bandar meningkatkan bilangan pekerja asing. Senario ini telah menyebabkan masalah pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan. Hal ini disebabkan oleh sikap sesetengah majikan yang lebih mengutamakan pekerja asing berbanding pekerja tempatan. Biasanya, pihak majikan akan mengupah pekerja asing yang sanggup menerima upah yang lebih rendah. Sebenarnya, pekerja tempatan bukanlah terlalu mementingkan upah yang tinggi. Mereka bertindak sedemikian disebabkan kos sara hidup yang semakin lama semakin tinggi. Mereka terpaksa meminta upah yang lebih tinggi supaya dapat membekalkan kehidupan yang lebih selesa kepada ahli keluarga mereka. Namun, sikap sesetengah majikan lebih menguntungkan keuntungan mereka sahaja tanpa rasa tanggungjawab sosial terdadap rakyat tempatan menyebabkan mereka lebih mengutamakan pekerja asing. Sikap majikan seperti ini adalah seperti anak di riba diletakkan, kera di hutan disusui. Akhirnya, majority pekerja dalam sesuatu sektor telah dikuasai oleh pekerja asing.

Seterusnya, pekerja asing yang meningkat di luar bandar turut berkait rapat dengan peningkatan kegiatan jenayah yang berlaku. Pekerja-pekerja asing yang berasal dari negara-negara berlainan telah membawa masuk budaya mereka yang sedikit sebanyak bertentangan dengan norma hidup masyarakat tempatan. Contohnya, mereka mengamalkan pergaulan bebas antara pekerja industri dengan penduduk tempatan. Ada yang tinggal serumah tanpa ikatan perkhawinan yang sah. Ada pula yang tanpa segan silu meneguk arak di kawasan perumahan yang sebahagian besar penduduknya penduduk tempatan. Hal ini menyebabkan kesejahteraan luar bandar tergugat. Ramai dari kalangan pendatang asing ini pula terlibat dalam kegiatan ragut, pecah rumah dan samun di kawasan-kawasan berhampiran dengan rumah kongsi mereka. Sememangnya, perindustrian di luar bandar menjejaskan kehidupan yang aman dan sentosa penduduk tempatan.

Tuntasnya, demi kesejahteraan masyarakat luar bandar, kawasan perindustrian tidak patut dibangunkan di luar bandar. Biarlah kawasan luar bandar mengekalkan keindahan dan ketenteraman persekitaran serta kesuciannya daripada sebarang pengaruh negatif. Bak kata peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, justeru setiap pihak harus menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing untuk mempertahankan keamanan luar bandar sebelum terlewat.

 

This entry was posted in Karangan. Bookmark the permalink.

Leave a comment