Rumusan #02 – SPM 2006

Petikan:

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara melahirkan masyarakat berbudi bahasa dan kesan terhakisnya amalan berbudi bahasa dalam masyarakat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejak zaman-berzaman, generasi tua terasuh dengan budaya dan adat sopan yang menitikberatkan nilai-nilai budi dalam setiap perbuatan dan perbualan. Mereka sentiasa meletakkan budi bahasa sebagai pelengkap kehidupan berhemah. Budi bahasa lazimnya merujuk kepada tutur kata, kelakuan dan sopan santun yang meliputi akhlak mulia. Untuk menyuburkan amalan yang mulia ini, kerajaan melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Oleh itu, kesedaran sivik masyarakat umum mestilah ditingkatkan oleh semua pihak untuk melahirkan warganegara yang berhemah tinggi.

Sementara itu, amalan berterima kasih hendaklah disuburkan semula. Alangkah eloknya tradisi masyarakat silam ini diamalkan secara menyeluruh di mana-mana sahaja pada setiap masa. Dalam kehidupan bermasyarakat, nilai kerjasama dan tolong-menolong tidak boleh diabaikan. Amalan ini akan menyemai perasaan hormat-menghormati di samping mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat. Antara amalan harian yang perlu kita lakukan untuk mengembalikan warisan silam itu termasuklah budaya berbahasa yang sopan dan berakhlak mulia.

lbu bapa bertanggungjawab dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak supaya membesar dengan akhlak yang terpuji. Cabarannya hebat kerana ibu bapa kini terhimpit oleh tuntutan kerjaya masing-masing. Pada peringkat sekolah pula, guru-guru perlu mendidik murid mereka supaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni kerana banyak masa murid dihabiskan di sekolah. Salah satu langkah drastik yang dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dengan memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Oleh sebab itu, amalan berbudi bahasa wajib kita laksanakan baik di sekolah atau di rumah. Malahan amalan ini perlu dihayati dan diamalkan oleh seluruh rakyat. Dengan perkataan lain, setiap orang bertanggungjawab dalam mengekalkan nilai budi bahasa itu.

Jika hal ini dapat diwujudkan, maka usaha untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 akan berhasil kerana nilai-nilai murni merupakan satu daripada ukuran kemajuan bangsa dan negara. Budi bahasa dan amalan murni tidak dapat bercambah tanpa usaha untuk memupuknya. Rakyat dan kerajaan mesti berusaha bersama-sama untuk mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi bahasa. Untuk tujuan itu, kita perlu ingat-mengingatkan supaya amalan murni yang kian terhakis itu menjadi amalan pada setiap masa. Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni merupakan kemuncak tindakan kerajaan untuk menerapkan amalan mulia ini dalam fikiran, perilaku dan hati budi warganegara Malaysia dalam pelbagai lapisan masyarakat. Kempen ini diharapkan dapat meneguhkan keperibadian dan mempamerkan jati diri dan imej rakyat Malaysia yang positif kepada masyarakat antarabangsa.

Rumusan:

Petikan membincangkan langlah-langkah melahirkan masyarakat berbudi bahasa di Malaysia.

Antara cara ialah kerajaan telah melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Selain itu, amalan berterima kasih hendaklah disuburkan semula. Seterusnya, nilai kerjasama dan tolong-menolong tidak boleh diabaikan. Seterusnya, ibu bapa perlu mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak. Tambahan pula, guru-guru juga perlu mendidik anak murid mereka. Di samping itu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia turut memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Selanjutnya, seluruh rakyat perlu menghayati dan mengamalkan amalan ini. Akhir sekali, setiap individu perlu mengekalkan nilai budi bahasa itu.

Kesan-kesan terhakisnya amalan budi bahasa dalam masyarakat ialah kes jenayah akan meningkan. Selain itu, imej negara akan terjejas. Seterusnya, negara kita tidak akan berkembang.

Kesimpulannya, setiap pihak harus bekerjasama untuk meningkatkan amalan berbudi bahasa supaya dapat melahirkan masyarakat yang berkualiti.

This entry was posted in RUMUSAN. Bookmark the permalink.

Leave a comment