Rumusan #03 – SPM 2007

Petikan:

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pada masa ini, Kementerian Pelajaran Malaysia sedang berusaha untuk memperkasakan pendidikan di negara kita kerana pendidikanlah yang akan menentukan hala tuju sesebuah negara. Menerusi pendidikan juga kita akan dapat melahirkan pemimpin yang berwibawa, berkaliber dan kental jati diri. Walau bagaimanapun, hasrat murni kementerian ini menghadapi beberapa kekangan, antaranya termasuklah masalah disiplin murid di sekolah-sekolah.

Untuk mengatasi masalah ini, kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Gejala Disiplin. Sehingga penghujung tahun 2004, sebanyak 250 pendapat awam diterima di samping ratusan aduan yang dikategorikan dalam masalah salah laku murid. Tindakan lain yang diambil oleh Kementerian Pelajaran adalah dengan membuka talian penting dan e-mel untuk mangsa buli dan keganasan di sekolah. Dengan cara ini, Kementerian Pelajaran akan mendapat maklumat tentang masalah disiplin dengan lebih tepat. lbu bapa dan orang awam boleh membuat aduan tentang masalah disiplin murid. Selain itu, maklumat boleh disalurkan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pegawai yang bertanggungjawab.

Bagi menangani masalah disiplin yang berat, pihak sekolah dibenarkan untuk mendapatkan bantuan daripada polis. Sekiranya perlu, pihak polis dibenarkan untuk menahan murid yang berada di luar kawasan sekolah pada waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran telah mengingatkan pihak sekolah bahawa mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib jika menyembunyikan kes disiplin yang berlaku di sekolah masing-masing. Hal ini demikian kerana Kementerian Pelajaran menerima laporan bahawa terdapat pihak pentadbir sekolah, terutamanya sekolah yang berstatus elit, cuba menutup kes disiplin di sekolah mereka.

Sebenarnya masalah disiplin yang berlaku ini boleh ditangani menerusi prosedur yang sedia ada seperti mengenakan hukuman rotan, denda, gantung sekolah dan buang sekolah. Namun demikian, sebelum hukuman dikenakan, setiap kes itu mestilah disiasat puncanya terlebih dahulu. Tindakan ini diambil supaya kita dapat berlaku adil kepada murid tersebut kerana ada murid yang melakukan kesalahan disiplin semata-mata kerana ingin akan perhatian dan mereka sebenamya bukan penjenayah. Kita akui bahawa masa depan negara amat bergantung pada kejayaan dan kemantapan sistem pendidikan. Kemantapan ini pula bergantung pada kecemerlangan kakitangan Kementerian Pelajaran melaksanakan peranan masing-masing. Dengan itu, akan tercapailah hasrat negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Rumusan:

Petikan membincangkan langkah-langkah mengatasi masalah disiplin murid di sekolah di sekolah Malaysia.

Antara tindakan ialah kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Gejala Disiplin. Selain itu, kementerian telah membuka talian penting dan e-mel untuk mangsa buli dan keganasan di sekolah. Seterusnya, ibu bapa dan orang awam boleh membuat aduan tentang masalah disiplin murid. Tambahan pula, maklumat boleh disalurkan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pegawai yang bertanggungjawab. Di samping itu, pihak sekolah dibenarkan untuk mendapatkan bantuan daripada polis. Selanjutnya, pihak sekolah boleh dikenakan tindakan tatatertib jika menyembunyikan kes disiplin yang berlaku di sekolah masing-masing. Akhir sekali, masalah disiplin yang berlaku ini boleh ditangani menerusi prosedur yang sedia ada.

Kesan-kesan masalah itu kepada negara ialah kes jenayah akan meningkat. Selain itu, imej negara akan tercemar di mata dunia. Seteruanya, negara tidak akan berkembang maju.

Kesimpulannya, setiap pihak perlu bekerjasama untuk menangani masalah disiplin supaya dapat mewujudkan sebuah negara yang sejahtera.

This entry was posted in RUMUSAN. Bookmark the permalink.

Leave a comment