Rumusan #04 – SPM 2008

Petikan:

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah penerokaan angkasa lepas dan cara-cara untuk menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pembabitan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas bermula pada awal 90-an sedangkan bidang tersebut telah diceburi lebih awal lagi oleh sesetengah negara lain. Pada mulanya rakyat Malaysia tertanya-tanya sama ada penglibatan dalam bidang angkasa lepas itu benar-benar berbaloi dengan kos tinggi yang dilaburkan. Walau bagaimanapun, persoalan itu telah terjawab apabila Malaysia diakui sebagai antara negara yang memiliki sistem komunikasi yang terbaik di dunia.

Belakangan ini, Malaysia terus mengorak langkah dalam bidang tersebut apabila melaksanakan program penghantaran angkasawan pertama ke angkasa lepas melalui kerjasama dengan beberapa buah negara lain. Pemilihan calon angkasawan pertama negara tidak menghadapi sebarang masalah kerana ramai peserta telah menawarkan diri untuk menyertainya. Calon-calonnya terdiri daripada pendidik, doktor, jurutera, saintis dan juruterbang. Kejayaan program ini memberikan impak yang besar kepada negara untuk terus maju dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Melalui program ini juga, negara dapat menjalin kerjasama yang lebih erat dengan negara-negara yang sudah maju dalam bidang tersebut. Secara tidak langsung, kerjasama dengan negara-negara terbabit membolehkan rakyat Malaysia mencontohi cara mereka bekerja dalam bidang tersebut.

Masyarakat, yang pada suatu ketika dahulu ragu-ragu akan manfaat penerokaan angkasa lepas, kini menerima hakikat bahawa sistem komunikasi yang semakin canggih ialah hasil daripada penerokaan angkasa lepas. Kecanggihan sistem komunikasi ini, seperti penggunaan internet, telah menyebabkan bidang perniagaan dan pemasaran semakin meluas. Kita boleh mencontohi negara-negara maju yang menggunakan internet untuk tujuan penyelidikan dalam pelbagai bidang. Selain itu, peluang pekerjaan dan perkhidmatan turut berkembang seiring dengan perkembangan sistem komunikasi ini.

Satu lagi bukti pembabitan Malaysia dalam bidang angkasa lepas ialah pelancaran tiga buah   satelit ke angkasa lepas. Menerusi pelancaran satelit ini, sistem komunikasi negara terus berkembang maju yang akhirnya dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat. Kerja-kerja pemetaan, pengawalan dan pemantauan alam sekitar dapat dilakukan dengan lebih mudah melalui satelit. Sesungguhnya, kejayaan dalam penerokaan angkasa lepas ini bukan sahaja dapat memperluas bidang tersebut, tetapi turut memberikan suntikan dalam perkembangan bidang-bidang lain seperti pendidikan, penyelidikan dan perubatan. Program penerokaan angkasa lepas ini mempunyai peluang cerah untuk berkembang pada masa hadapan. Oleh sebab itu, langkah yang sistematik harus diambil supaya suatu hari nanti Malaysia dapat melahirkan lebih banyak angkasawan bagi membuktikan kehebatan negara dalam bidang angkasa lepas.

Rumusan:

Petikan membincangkan kebaikan-kebaikan penerokaan angkasa lepas di Malaysia.

Antara faedah ialah Malaysia diakui sebagai antara negara yang memiliki sistem komunikasi yang terbaik di dunia. Selain itu, sistem komunikasi negara ini semakin canggih. Seterusnya, bidang perniagaan dan pemasaran negara ini semakin meluas. Tambahan pula, peluang pekerjaan dan perkhidmatan turut berkembang. Di samping itu, kerja-kerja pemetaan, pengawalan dan pemantauan alam sekitar dapat dilakukan dengan lebih mudah melalui satelit. Selanjutnya, penerokaan bidang ini memberikan suntikan dalam perkembangan bidang-bidang lain. Akhir sekali, penerokaan bidang ini dapat melahirkan lebih banyak angkasawan.

Antara cara untuk menarik minat masyarakat terhadap bidang ini ialah pihak kerajjan boleh mengadakan pameran tentang angkasa lepas. Selain itu, pihak sekolah harus banyak mengadakan ceramah untuk menarik minat pelajar. Seterusnya, ibu bapa perlu memberi sokongan kepada anak-anak untuk melibatkan diri dalam bidang ini.

Kesimpulannya, semua pihak harus bekerjasama untuk menyokong penerokaan bidang angkasa lepas supaya negara kita terus maju.

 

This entry was posted in RUMUSAN. Bookmark the permalink.

Leave a comment